Air, Elektrik dan Jalan: Tiga Hak Yang Masih Tidak Sampai Ke Kulukulu...

Air, Elektrik dan Jalan: Tiga Hak Yang Masih Tidak Sampai Ke Kulukulu Sejak Zaman BN Bung

0
SHARE

KINABATANGAN: Di sebalik slogan dan janji politik yang pernah berkumandang seperti “Bikin Balik Sabah”, realiti yang dirasai penduduk Kampung Kulukulu menunjukkan sebaliknya.

Sehingga hari ini, tiga keperluan asas – air bersih, elektrik stabil dan jalan yang sempurna – masih tidak sampai ke kampung yang dihuni kira-kira 50 penduduk itu.

Penduduk masih bergantung pada air hujan dan sungai yang berisiko tercemar serta bekalan elektrik hanya menggunakan generator, sekadar beberapa jam sehari.

Malah, laluan utama ke kampung sebaik tiba menaiki bot, kekal sebagai jalan tanah yang rosak dan sukar dilalui musim hujan.

Bagi Jemlin, 45, kekurangan asas ini bukan sekadar isu keselesaan, ia menjejaskan pendidikan anak-anak, keselamatan, serta peluang ekonomi mereka.

“Dulu BN selalu janji nak bawa perubahan di kampung kami, janji tinggal janji saja.

“Wakil rakyat bilang nanti dulu, akhirnya nak masuk pilihan raya lagi,” katanya.

Kinabatangan Antara Daerah Paling Perlahan Terima Infrastruktur

Beberapa kajian akademik mengenai pembangunan luar bandar Sabah menyebut bahawa Kinabatangan adalah antara daerah yang paling ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur asas, khususnya kawasan jauh dari pekan utama.

Walaupun pimpinan politik terdahulu telah lama berkhidmat di kawasan ini, termasuk pengaruh tokoh Barisan Nasional seperti Datuk Seri Bung Moktar Radin, kemajuan infrastruktur di kampung terpencil seperti Kulukulu masih hampir tidak bergerak.

Janji Bikin Balik Sabah Pun Kami Tidak Rasa

Jemlin, 45.

Sentimen penduduk Kulukulu mudah dirumuskan melalui keluhan yang kerap diulang.

“Hari ini baru cakap bikin balik Sabah… tapi kampung kami pun tidak bergerak-gerak,” kata Jemlin.

Harapan Baharu Melalui Calon GRS

Dalam perkembangan berkaitan Pilihan Raya Umum Sabah ke-17, kemunculan calon muda GRS bagi DUN Lamaq, Johainizamshah Johari, menarik perhatian penduduk Kulukulu.

Berbekalkan pengalaman sebagai Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) di Lamag, beliau dilihat lebih dekat dengan isu setempat.

Dalam sesi wawancara ringkas bersama penduduk selepas program turun padang di Kulukulu, Johaienizamshah menjelaskan penduduk Kulukulu sudah terlalu lama menunggu kemudahan asas yang sepatutnya menjadi hak mereka.

“Isu air, elektrik dan jalan bukan perkara kecil — ia nadi kehidupan. Saya datang bukan untuk buat janji besar, tapi untuk jelaskan apa yang realistik dan bagaimana kita mahu selesaikan secara berperingkat,” katanya.

Beliau menambah bahawa GRS telah mengumpulkan maklumat terperinci mengenai keperluan kawasan itu dan bersedia membawa cadangan tersebut ke peringkat lebih tinggi sekiranya diberikan mandat.

“Yang penting, penduduk tahu apa prosesnya, tahu ke mana peruntukan perlu disalur dan tahu siapa yang bertanggungjawab memastikan pelaksanaannya. Keterbukaan ini yang saya mahu bawa,” jelasnya.

Penduduk yang hadir menyatakan mereka menghargai penerangan tersebut, kerana sebelum ini mereka jarang menerima penjelasan jelas mengenai status permohonan kemudahan asas kampung mereka.

Menuju PRN Sabah ke-17

Bagi Kulukulu, pilihan raya umum pada 29 November ini bukan sekadar pertandingan parti, tetapi persoalan masa depan asas kehidupan mereka.

Air, elektrik dan jalan. Tiga perkara yang bagi kebanyakan rakyat Malaysia dianggap biasa, tetapi bagi penduduk Kulukulu — ia adalah impian yang belum ditunaikan sejak zaman BN lagi, termasuk sepanjang tempoh Bung Moktar menerajui kawasan Kinabatangan.

Bagaimanapun, masalah utama penduduk seperti denai yang gelap, telahpun diselesaikan kerajaan GRS menerusi pemasangan lampu solar.

“Kami menunggu sekian lama lampu jalan ini. Dulu gelap, tapi sejak GRS tadbir kerajaan, jalan ini terang benderang,” kata penduduk.

Dengan harapan baharu yang mula muncul, penduduk Kulukulu hanya mahu satu perkara, “Bukan lagi slogan… tapi hasil.”

Dalam PRN Sabah 2020, Bung Moktar menang kerusi DUN Lamag dengan majoriti 661 undi.