Ketua Jabatan Digesa Rujuk Pelan ‘Suara Kuamut’ Bagi Pembangunan Terancang Tongod Hingga...

Ketua Jabatan Digesa Rujuk Pelan ‘Suara Kuamut’ Bagi Pembangunan Terancang Tongod Hingga 2030

0
SHARE

KUNDASANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, menggesa semua ketua jabatan di daerah Tongod agar merujuk garis panduan pembangunan terancang yang terkandung dalam buku Suara Kuamut – Pelan Pembangunan Daerah Tongod 2020–2030 sebagai rujukan utama pelaksanaan dasar di peringkat daerah.

Beliau berkata, buku berkenaan yang disusun dengan kerjasama Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) menghimpunkan cadangan pembangunan berpotensi tinggi yang telah dikenal pasti secara sistematik untuk dimajukan di kawasan Kuamut dan Tongod sehingga tahun 2030.

Menurut Masiung, kerangka pelan tersebut lahir daripada idea, misi dan visi beliau bagi memastikan pembangunan daerah Tongod dilaksanakan secara tersusun, inklusif dan berterusan.

“Menerusi misi Suara Kuamut, IDS berperanan sebagai fasilitator, manakala Pegawai Daerah bersama ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan bertindak sebagai pelaksana dasar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Warga Kerja Pejabat Daerah Tongod yang berlangsung di sebuah pusat peranginan di Kundasang, semalam.

Pada majlis itu, turut diperkenalkan Pegawai Daerah Tongod yang baharu, Hazlan Jablee, bagi menggantikan Yuesri Ismail Yusof yang ditukarkan ke daerah Membakut.

Masiung menegaskan pendekatan pelaksanaan pelan pembangunan itu turut melibatkan Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM), pengamal adat serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi memastikan keperluan akar umbi diambil kira.

“Hubungan kerjasama dua hala antara penjawat awam dan pemimpin di peringkat daerah amat penting agar pembangunan dapat dilaksanakan secara holistik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pegawai dan kakitangan kerajaan supaya berkhidmat dengan penuh keikhlasan serta tidak memandang ringan urusan rakyat.

“Jawatan bukan sekadar amanah untuk menyara keluarga, tetapi tanggungjawab membangunkan masyarakat,” tegasnya.

Menurut beliau, buku Suara Kuamut menggariskan lima teras utama dan 10 strategi pembangunan yang merangkumi pelbagai sektor termasuk ekonomi, infrastruktur, pendidikan dan modal insan, industri, sukan, kebudayaan, keagamaan, keselamatan, kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan penduduk pelbagai lapisan.