SEMPORNA, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna berjaya mematahkan cubaan dua buah bot menyeludup masuk 40 kotak besar berisi ayam sabung yang dianggarkan bernilai sekitar RM40,000 di Perairan Kampung Kuala Bibang, Semporna sekitar pukul 2.40 pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam penugasan Op Pluto Timur, Op Cegah Pati dan OP Tiris, telah menerima maklumat risikan dan menuju ke lokasi.
Setibanya di lokasi, anggota bot peronda berjaya mengesan dya buah bot yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan menuju ke perkampungan atas air Kampung Kuala Bibang, Semporna.
“Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, tekong bot telah bertindak nekad melarikan diri dengan terjun ke laut dan berenang ke arah perkampungan atas air berdekatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati ayam-ayam sabung berkenaan dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran gelap pemain sabung ayam di negeri ini.
“Zon Maritim Semporna akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan serta menjejak suspek itu yang dipercayai bergiat aktif dalam aktiviti penyeludupan di Semporna,” katanya.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot berserta enjin dianggarkan bernilai RM 54,000 manakala kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 di bawah seksyen 135 (1) (a) atas kesalahan terlibat dalam mengimport atau mengeksport apa-apa barangan tidak berkastam atau apa-apa barangan berlawanan dengan sesuatu larangan sama ada barangan tak berkastam atau barang larangan itu dikapalkan untuk diturunkan dari kapal dihantar serah.
Individu yang didapati bersalah kali pertama boleh dikenakan denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda nilai barangan itu atau RM 50,000 atau yang mana satu amaun yang lebih tinggi dan tidak lebih daripada dua puluh kali ganda amaun duti kastam atau RM 500,000 atau yang mana satu amaun yang lebih tinggi atau dipenjarakan selama lima tahun atau kedua-duanya sekali.