KUCHING, SARAWAK – Indeks harga seunit bagi bahan binaan seperti besi, bahan paip dan keratan keluli serta logam bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak mencatatkan penurunan berdasarkan perbandingan bulanan.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjelaskan walau bagaimanapun, bahan binaan lain seperti simen dan kayu pula mencatatkan peningkatan harga.
“Perbandingan bulanan pada Jun 2023 menunjukkan penurunan indeks harga seunit besi iaitu di antara 0.6 peratus dan 2.3 peratus bagi hampir semua kawasan Semenanjung Malaysia dan Sabah…
“Manakala indeks harga seunit besi kekal tidak berubah bagi beberapa kawasan seperti di Johor, Terengganu serta Kelantan dan semua kawasan di Sarawak (Kuching, Sibu dan Miri) berbanding pada Mei 2023,” menurutnya dalam kenyataan mengenai Indeks Kos Bahan Binaan Jun 2023 yang dikeluarkan pada Selasa.
DOSM memaklumkan selain besi, indeks harga seunit keratan keluli dan logam juga turut mencatatkan penurunan iaitu antara 0.3 peratus dan 2.1 peratus bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Penurunan indeks harga besi, dan keratan keluli serta logam ini adalah seiring dengan senario penurunan harga besi dan bijih besi di peringkat global,” jelas DOSM.
Walau bagaimanapun, pada Jun 2023, indeks harga seunit simen meningkat dengan kadar yang lebih perlahan iaitu antara 0.1 peratus dan 0.9 peratus berbanding 1.8 peratus hingga 4.0 peratus pada Mei 2023, menurutnya.
Perangkaan juga menjelaskan selain simen, indeks harga bagi seunit kayu juga telah meningkat antara 2.3 peratus dan 4.0 peratus di semua kawasan di Semenanjung Malaysia kecuali di kawasan Johor dan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.
Namun begitu, indeks harga seunit kayu bagi semua kawasan Sabah dan Sarawak pula kekal tidak berubah berbanding Mei 2023, menurutnya.
DOSM memaklumkan bagi perbandingan secara tahunan untuk tempoh Jun 2022 dan Jun 2023, indeks harga seunit simen mencatatkan peningkatan antara 2.4 peratus dan 17.5 peratus, bagi kesemua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Tambahan daripada itu, dalam konteks item dan kawasan, indeks harga seunit bahan binaan di Semenanjung Malaysia meningkat antara 0.2 peratus hingga 17.5 peratus bagi Jun 2023 berbanding bulan yang sama tahun lepas.
“Sementara itu, indeks harga bagi seunit bahan binaan yang mencatatkan peningkatan tertinggi di Sabah adalah bahan paip di Kota Kinabalu (17.6 peratus), manakala di Sarawak pula adalah kayu di Sibu (31.7 peratus) dan batu bata serta dinding di Miri (23.3 peratus),” menurut DOSM.
– BERNAMA