KOTA KINABALU, SABAH – Lima buah kenderaan di tempat letak kereta Taman Publik Lintas Fasa 2 ditimbus tanah runtuh ekoran hujan lebat semalam.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, hanya bahagian belakang kereta yang terjejas dalam insiden 8 malam itu.
“Tindakan pasukan bomba membantu mengeluarkan kereta yang tertimbus dengan menggunakan peralatan hidrolik.
“Pasukan bomba seterusnya memasang sawar-sawar dan memberi nasihat kepada penduduk berhampiran untuk tidak menghampiri kawasan tanah runtuh tersebut.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” kata seorang jurucakap sambil menambah operasi ditamatkan pada jam 10.17 malam.
Terdahulu pada hari yang sama, di Skim Penempatan Telipok, dua buah rumah jenis tidak kekal musnah juga akibat tanah runtuh pada kira-kira 3.41 petang.
Menurut sumber yang sama, hanya sebuah rumah berpenghuni namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kedua-dua insiden yang melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat Lintas.