Lelaki Ditahan Terlibat Kes Pecah Rumah, Barang Curi Dirampas

Lelaki Ditahan Terlibat Kes Pecah Rumah, Barang Curi Dirampas

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah, manakala pelbagai barangan yang disyaki hasil curi turut dirampas dalam operasi dijalankan Strike Team Balai Polis Tawau di Kampung Vietnam, Pokok Besar, di sini, baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, suspek berusia 41 tahun itu diberkas ketika pasukan polis menjalankan Op Pintu dan Rondaan Cegah Jenayah selepas didapati membawa sebuah beg galas dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan ke atas beg galas tersebut menemukan beberapa barangan yang disyaki merupakan harta curi, sekali gus membawa kepada penahanan suspek untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara barangan yang dirampas ialah sebuah beg galas, beberapa helai baju BIP sukan pelbagai saiz dan warna, sebuah soket penyambung, sepasang kasut bola berjenama serta sebiji bola yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah itu.

Hasil semakan lanjut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan mencuri selain kes berkaitan dadah dan perjudian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.

Wilynton berkata, Polis Daerah Tawau akan terus memperhebat rondaan pencegahan jenayah bagi membanteras kegiatan jenayah serta menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan bagi membantu mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah itu.