Renewar Cipta Kejayaan Di Sarawak, Bawa Pulang Gelaran Juara REDEEMS Battle Of...

Renewar Cipta Kejayaan Di Sarawak, Bawa Pulang Gelaran Juara REDEEMS Battle Of The Band 2026

0
SHARE

BAU, SARAWAK – Kumpulan Renewar dari Sandakan, Sabah mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai juara 4th REDEEMS Battle of the Bands 2026 yang berlangsung di Bidayuh Cultural Village, REDEEMS, Bau, Sarawak, pada Jumaat (17 Julai 2026).

Renewar berjaya mengungguli saingan pada pusingan akhir pertandingan berkenaan, sekali gus membawa pulang gelaran juara serta hadiah utama bernilai RM10,000.

Sebanyak enam kumpulan berentap pada pusingan akhir, iaitu Zumique, Silent Attack, Renewar, ExcroZim, NNC dan Time Attack.

Selepas saingan berakhir, Renewar dari Sandakan, Sabah diumumkan sebagai juara, manakala Silent Attack dari Sarawak meraih tempat kedua dan ExcroZim dari Sarawak menduduki tempat ketiga.

Kejayaan Renewar itu turut mengharumkan nama Sabah, khususnya Sandakan, apabila kumpulan berkenaan berjaya membuktikan kemampuan dan bakat mereka untuk bersaing di pentas luar negeri.

Barisan Renewar terdiri daripada Ayie selaku vokalis, AB sebagai pemain bass, Boess sebagai pemain gitar, Pyaa sebagai pemain papan kekunci dan Pip sebagai pemain dram.

4th REDEEMS Battle of the Bands 2026 berlangsung selama dua hari, bermula Khamis, 16 Julai hingga Jumaat, 17 Julai 2026, dengan format pertandingan merangkumi pusingan pemilihan dan pusingan akhir.

Selain Renewar, Time Attack yang turut mewakili Sabah berjaya mara ke final, namun belum ada rezeki untuk meraih kedudukan tiga terbaik…

Pertandingan itu dianjurkan oleh REDEEMS (Association of Research & Development of Singai) sebagai platform untuk mengetengahkan bakat muzik serta memberi ruang kepada kumpulan-kumpulan yang mengambil bahagian mempamerkan kemampuan masing-masing.

Kejayaan tersebut menjadi satu lagi pencapaian membanggakan buat Renewar yang bukan sahaja membawa pulang gelaran juara, malah turut membawa nama Sandakan dan Sabah ke pentas muzik di Bumi Kenyalang.