KUALA SELANGOR – Pelaksanaan Undi 18 dilihat menjadi platform anak muda membuktikan mereka mampu menawarkan wadah baharu politik yang lebih segar, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau yang dipetik Bernama berkata, golongan ini juga mampu mengubah gaya politik tradisional, namun perlu mempunyai pemahaman terhadap isu semasa untuk mereka membuat pilihan bijak demi masa hadapan negara.
“Pada masa sama, Undi 18 dilihat dapat memberi peluang kepada golongan muda terbabit aktif dalam membuat keputusan berkenaan masa depan negara…
“Mungkin selepas ini kita boleh melihat lebih ramai golongan muda menjadi pemimpin, di peringkat Persekutuan atau negeri.
“Undi 18 juga mampu melahirkan bakal pemimpin yang matang dan berkualiti. Penurunan umur minimum mengundi dilihat mampu memberi lebih masa kepada golongan muda mendekati dan mendalami arena politik serta kepimpinan negara,” katanya dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Belia Negara peringkat Selangor 2022 di Stadium Utama Kuala Selangor, semalam.
Tengku Zafrul berkata, apabila terdapat ramai wakil golongan muda dalam arena politik, sudah pasti suara generasi ini akan lebih didengari.
“Ruang dan platform ini juga berupaya melihat lebih ramai golongan muda terbabit aktif dalam membuat keputusan berkenaan masa depan negara,” katanya.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, keadaan pandemik COVID-19 mewujudkan peningkatan bilangan usahawan muda dan kebergantungan perniagaan kepada teknologi pendigitalan, khususnya ekonomi gig.
“Pembabitan anak muda belia dalam industri digital ini, berupaya memberikan rangsangan ekonomi dan sumbangan idea yang baharu kepada kerajaan serta generasi milineal ini tidak lagi mengharapkan penggantungan kepada ekonomi dan pekerjaan tradisional,” katanya.
Mengulas sambutan Hari Belia Negara peringkat Selangor yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu, Tengku Zafrul berkata, ia turut menyediakan segmen ‘Y-Career’ iaitu pameran kerjaya membabitkan lebih 26 syarikat menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan kepada anak tempatan.