MDNS Suarakan Kebimbangan Isu Pemindahan Anggota Bermasalah Ke Sabah, Sarawak

MDNS Suarakan Kebimbangan Isu Pemindahan Anggota Bermasalah Ke Sabah, Sarawak

0
SHARE

KOTA KINABALU: Presiden Majlis Datuk-Datuk Negeri Sabah (MDNS) Datuk Claudius Roman berkata, MDNS berkongsi kebimbangan mengenai isu pemindahan sembilan anggota polis bermasalah ke Sabah dan Sarawak.

Jelas beliau, ramai pemimpin Sabah khususnya Ketua Menteri turut menyuarakan kebimbangan berkenaan.

“Integriti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu dikekalkan setiap masa…

“Tidak dinafikan adalah amalan biasa untuk memindahkan anggota atau mana-mana kakitangan kerajaan yang bermasalah ke negeri lain.

“Bagaimanapun, sudah tiba masanya untuk menghentikan amalan seumpamanya kerana ianya tidak adil kepada negeri yang menjadi sasaran pemindahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, pemindahan seumpamanya kini dilihat sebagai menutup kes jenayah anggota atau kakitangan kerajaan terlibat.

Katanya, mereka seharusnya dijatuhkan hukuman berdasarkan undang-undang sewajarnya sekali gus dapat mencegah daripada perkara sama berulang.

“Dalam Perlembagaan Persekutuan, semua negeri dalam Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak merupakan rakan kongsi, harus sentiasa dilayan secara adil serta saksama.

“Jangan wujud amalan ‘double standard’ layanan terhadap kakitangan kerajaan mempunyai masalah jenayah dan disiplin…

“Mereka harus digantung kerja serta-merta seperti termaktub dalam undang-undang negara, bukannya dihantar ke Sabah seterusnya rakyat negeri ini yang akan menerima kesan negatif pada masa depan,” katanya.

Claudius berkata, Sabah layak menerima penghormatan serta layanan yang lebih baik daripada apa yang diberikan negeri ini selama ini oleh kerajaan persekutuan.

Katanya, kerajaan persekutuan perlu memperbetulkan semula salah laku terhadap Sabah selama ini sekali gus usaha berkenaan mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti pasukan keselamatan serta pihak berkuasa yang lain.