KOTA KINABALU: Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah mencatatkan pencapaian memberangsangkan apabila berjaya melaksanakan 11 daripada 12 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi tahun 2024, dengan jumlah keseluruhan mencapai 92 peratus.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen tinggi warga JTU dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negeri.
“Pencapaian ini adalah hasil kerja keras, dedikasi serta budaya kerja cemerlang warga jabatan. Sebagai contoh, sasaran pungutan hasil tanah berjumlah RM281 juta pada 2024 berjaya dilepasi dengan kutipan sebanyak RM290.87 juta, iaitu 104 peratus.
“Selain itu, sebanyak 55,670 permohonan tanah berjaya diproses berbanding sasaran 45,000, manakala pengukuran Tanah Adat Anak Negeri (NCR) mencapai 17,701.50 hektar, melepasi sasaran 15,000 hektar,” katanya ketika merasmikan Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 JTU di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
Hajiji berkata, JTU turut mewartakan 82 tapak simpanan kampung, melebihi sasaran 80 tapak, serta membangunkan tiga sistem baharu dalam talian iaitu Sistem Perlanjutan Lesen Pendudukan Sementara (TOL), Sistem Penguatkuasaan Tanah dan Aplikasi 3D Building.
“Ini jelas membuktikan pendekatan progresif JTU yang seiring dengan keperluan semasa, sekali gus meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian kepada rakyat,” tambah beliau.
Dalam ucapannya, Hajiji turut menekankan kepentingan Program Pengukuran Tanah Adat Anak Negeri Sabah (PANTAS) yang kekal sebagai agenda utama kerajaan negeri bagi menjamin hak pemilikan tanah bumiputera.
Sejak dilaksanakan pada 2011, kerajaan Persekutuan melalui ICU Jabatan Perdana Menteri telah menyalurkan sebanyak RM251.34 juta untuk program ini. Sehingga Jun 2025, sebanyak 488,705 ekar melibatkan 70,436 lot tanah adat berjaya diukur.
“PANTAS memberi impak besar kerana ia membantu anak negeri Sabah memiliki tanah sendiri. Usaha ini diperkasa lagi melalui pelancaran Galeri Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) yang akan menjadi simbol dedikasi jabatan serta sumber ilmu dan inspirasi generasi akan datang,” ujarnya.
Dalam majlis itu, Hajiji turut menyampaikan penghargaan kepada penerima APC 2024 dan mengingatkan mereka agar menjadikan pengiktirafan tersebut sebagai pendorong untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan awam.
“Budaya kerja kreatif dan inovatif perlu dipupuk untuk memastikan sistem penyampaian lebih mantap dan berkesan. Komitmen berterusan amat penting bagi memastikan Sabah terus melangkah maju selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ,” tegasnya.






