KOTA KINABALU, SABAH – Simposium antarabangsa berkaitan pembangunan dan pengurusan bandar raya pesisiran air perlu dijadikan sebagai satu platform untuk perbincangan secara lebih mendalam bagi membangunkan bandar raya pesisir air di negara ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata bukan itu saja malah hasil daripada simposium ini diharapkan dapat memperkasakan perancangan dan strategi pengurusan yang baik, lebih berdaya tahan dan lebih bersedia untuk perancangan masa hadapan.
“Justeru, pihak berkuasa tempatan memerlukan perancangan pembangunan dan pengurusan bandar raya persisiran air yang komprehensif dan berdaya tahan…
“Beberapa aspek menyeluruh seperti memperkasakan populasi, memperkemaskan infrastruktur, mengoptimumkan sumber sedia ada termasuk elemen budaya dan sejarah, perlu diberi perhatian sewajarnya dalam somposium ini.
“Kita perlu pembangunan yang mampan tetapi pada masa sama dapat memenuhi keperluan masyarakat seperti yang disyaratkan dalam Sustainable Development Goals (SDGs).
“Oleh itu, amat penting dalam simposium ini kita dapat menemui garis panduan dan kriteria sesuai untuk pembangunan di bandar raya pesisiran pantai atau air tanpa menghilangkan nilai sejarah dan warisan serta tidak menjejaskan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena International Symposium on Developing and Managing Water’s Edge City 2022 di Marriott Hotel di sini pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepadsa Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Katanya, simposium antarabangsa ini juga adalah salah satu platform yang efektif untuk bertukar-tukar idea dan pandangan, membina jalinan hubungan dan berkongsi ilmu dan pengalaman.
“Kita hadir mewakili bandaraya masing-masing, bukan sahaja di Malaysia malah kita datang dari budaya yang berbeza. Namun, kita juga menghadapi cabaran yang hampir sama di setiap bandaraya kita.
“Ini termasuklah cabaran perubahan iklim, cabaran ekonomi, cabaran sosial dan cabaran pembangunan yang kita hadapi sebagai pihak berkuasa tempatan, perancang, pemaju dan warga bandaraya itu sendiri.
“Saya berharap semoga simposium ini akan mencapai objektifnya dan menjadi platform yang tepat untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik serta meneroka peluang baharu untuk kesejahteraan bandaraya kita,” katanya.
Sempena majlis itu, Tiang Multi Fungsi (Smart Pole) yang pertama di Kota Kinabalu, turut dilancarkan termasuk mengumumkan bangunan Ibu Pejabat DBKK sebagai Bangunan Kerajaan ‘Liputan Dalam Bangunan’ 5G Pertama di Malaysia Timur.
“Syabas dan tahniah kepada kedua-dua Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk tiang multi fungsi yang pertama di Malaysia Timur yang terletak di hadapan bangunan DBKK,” katanya.
Tiang Multi Fungsi 5G ialah infrastruktur yang mengintegrasikan pelbagai fungsi termasuklah Pencahayaan Pintar, Pemantauan, Pengurusan Trafik, Pengesanan Alam Sekitar, Penghantaran Mesej, Kecemasan, Amaran Bencana dan Telekomunikasi 5G.
Ini membentuk sebahagian daripada perancangan dan pembangunan bandar pintar seperti yang dihasratkan oleh kerajaan iaitu ke arah bandar digital dan 5G sebagai pengupaya kepada teknologi.