KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah telah menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah stor tidak bernombor di Kg. Iran, Beluran pada Sabtu.
Pasukan serbuan telah menjumpai sebanyak 15,000 liter minyak diesel di dalam lori tanker dan tong drum yang dipercayai untuk dijual kepada pihak industri beserta alatalat yang disyaki digunakan untuk menyeleweng hasil serbuan padjam 2.33 petang itu.
Turut dirampas ialah dua buah kenderaan lori, ‘electronic pump’ dan hos dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM159,500.
Penagarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, risikan telah dijalankan selama tiga hari sebelum serbuan dijalankan.
“Dua orang lelaki warga tempatan yang dipercayai penjaga stor dan pemandu lori di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan…
“Berdasarkan keterangan awal, penjaga stor dan pemandu lori tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.
“Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.
“Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” katanya.
Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta. Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.
Georgie berkata KPDNHEP Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.





