KOTA KINABALU, SABAH – Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) dengan kolaborasi bersama Pakar Bius Otak Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya telah berjaya melakukan pembedahan otak secara sedar ‘awake mini craniotomy‘ yang pertama di Sabah ke atas seorang lelaki berusia 88 tahun yang mengalami kecederaan otak traumatik pada 30 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr. Asits Sanna menjelaskan pesakit tersebut mengalami pendarahan subdural kronik yang besar di bahagian kiri otak akibat terjatuh di taman perumahannya dua minggu lalu.
“Ianya mengakibatkan pesakit mengalami gejala sakit kepala yang teruk, kabur penglihatan, pertuturan yang tidak jelas dan kelemahan badan di sebelah kanan.
“Keputusan untuk melakukan pembedahan ini dengan segera telah dibuat bagi mengeluarkan darah beku di otak memandangkan fungsi saraf pesakit ini yang semakin merosot.
“Tujuan utama pembedahan dilakukan secara sedar adalah untuk menilai fungsi saraf pesakit secara intraoperatif.
“Setelah kira-kira 30ml darah beku dikeluarkan, fungsi saraf pesakit telah menunjukkan peningkatan yang baik dan pesakit kini telah pulih sepenuhnya,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Pembedahan itu diketuai oleh Dr. (Mr) Sofan Zenian, Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Pembedahan Neuro HQE II, bersama Dr. Yeap Boon Tat, Pensyarah Kanan dan Pakar Neuroanestetik dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UMS.
Dr. Asits berkata kejayaan pembedahan itu telah mengurangkan risiko komplikasi bius penuh dan mengelakkan keperluan pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), sekaligus mengurangkan kadar jangkitan nosokomial di ICU.