LAHAD DATU: Bendahari BN Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggesa Pemuda UMNO Sabah mengutamakan Agenda Sabah serta mengamalkan politik sederhana, matang dan berorientasikan penyelesaian demi masa depan negeri.
Berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu yang diketuai Datuk Seri Anil, beliau berkata golongan muda perlu memberi fokus kepada isu rakyat seperti pekerjaan, pendidikan, pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan, bukan pertikaian politik tidak produktif.
Menurutnya, Barisan Nasional Sabah komited menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta pelaksanaan Agenda Sabah.
“Peranan BN bukan untuk mendominasi atau mengejar jawatan, tetapi menyumbang kepada kestabilan politik, menyokong agenda pembangunan kerajaan dan memastikan manfaatnya dinikmati rakyat hingga ke peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau turut mengakui BN bukan rakan setara dalam kerajaan negeri, namun menegaskan parti itu tetap boleh memainkan peranan konstruktif sebagai rakan bertanggungjawab.
Tambahnya, generasi muda Sabah perlu menjadi pendukung kesederhanaan, perpaduan dan pembangunan dengan meletakkan kepentingan negeri mengatasi politik sempit.






