Kerjasama Antara Parti Penting Hadapi PRU, Monopoli Kerusi Sudah Tidak Realistik –...

Kerjasama Antara Parti Penting Hadapi PRU, Monopoli Kerusi Sudah Tidak Realistik – Mustapha

0
SHARE

Oleh: Mirlen Axtius

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah berpandangan bahawa kerjasama antara parti politik akan terus menjadi faktor penting dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, meskipun terdapat pandangan daripada parti-parti tertentu mengenai jumlah kerusi yang ingin ditandingi.

Pengerusi PH Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, sebarang keputusan berhubung pengagihan kerusi masih tertakluk kepada rundingan dan perbincangan antara parti-parti yang terlibat.

Menurut Pengerusi MPN Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah itu, setiap parti mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan masing-masing mengenai jumlah kerusi yang ingin ditandingi, namun keputusan akhir perlu dibuat berdasarkan realiti politik semasa.

“Selagi belum diputuskan, saya fikir masing-masing boleh mengutarakan pandangan masing-masing berapa kerusi yang mereka mahu bertanding.

“Tapi akhirnya kita kena praktikal juga di Sabah ini, terutamanya bahawa zaman sekarang ini untuk satu-satu parti memonopoli sesuatu Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah tidak realistik,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat di Kampung Darau Laut, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor yang sebelum ini menyatakan kemungkinan gabungan itu akan bertanding di kesemua 25 kerusi Parlimen Sabah pada PRU akan datang.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, kerjasama politik antara parti di peringkat negeri dan Persekutuan perlu terus diperkukuhkan demi memastikan kestabilan politik dan pembangunan dapat diteruskan.

“Jadi perlu ada kerjasama, terutama melibatkan Persekutuan dan juga negeri. Jadi itu biasa. Kita lihatlah perkembangan nanti macam mana,” katanya.

Mengulas hubungan antara PH dan GRS menjelang PRU akan datang, Mustapha menegaskan hubungan kedua-dua gabungan ketika ini berada dalam keadaan baik.

“Setakat ini alhamdulillah berjalan baik dan kita juga sebenarnya sebahagian daripada kerajaan negeri. Jadi hubungan itu amat baik,” katanya.