Sabah Motor Day 9.0 Kembali Dengan Misi Belia Bebas Dadah Pada 5-6...

Sabah Motor Day 9.0 Kembali Dengan Misi Belia Bebas Dadah Pada 5-6 September Depan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah Motor Day 9.0 akan kembali dianjurkan dengan membawa misi memperkukuh kesedaran antidadah dalam kalangan belia menerusi penglibatan komuniti permotoran dan masyarakat setempat pada 5 dan 6 September depan di Padang Kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Program anjuran Skuad Antidadah Sabah itu dijangka dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sekali gus bakal menghimpunkan peminat permotoran, golongan belia, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan serta orang ramai dalam satu platform yang mempromosikan gaya hidup sihat, berdisiplin dan bebas dadah.

Pengerusi Skuad Antidadah Sabah, Datuk Mazlan @ Joehari Manan berkata, tarikh baharu program berkenaan ditetapkan selepas perbincangan bersama Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansur dalam sesi kunjungan hormat yang diadakan baru-baru ini.

Menurut beliau, Sabah Motor Day 9.0 bukan sekadar acara yang menghimpunkan komuniti permotoran, tetapi turut berperanan sebagai medium berkesan untuk menyampaikan mesej pencegahan dadah kepada generasi muda.

“Komuniti permotoran mempunyai pengaruh yang besar dalam kalangan belia. Justeru, pendekatan melalui minat dan aktiviti permotoran dilihat mampu menjadi medium yang berkesan untuk menyampaikan mesej antidadah secara santai tetapi bermakna.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan Skuad Antidadah Sabah dalam memperluas usaha pencegahan dadah dengan mendekati golongan muda melalui platform yang dekat dengan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan sepanjang dua hari penganjuran termasuk pameran, kempen kesedaran antidadah, penyertaan kelab-kelab permotoran, program komuniti belia serta aktiviti berbentuk kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Katanya, program tersebut diharap dapat menjadi wadah menyatukan pelbagai lapisan masyarakat sambil menyemai nilai disiplin, tanggungjawab dan kesedaran terhadap bahaya penyalahgunaan dadah.

Sehubungan itu, Mazlan menyeru semua peminat permotoran, belia, komuniti setempat, agensi kerajaan, NGO serta orang ramai untuk hadir memeriahkan Sabah Motor Day 9.0 dan bersama-sama menjayakan agenda melahirkan generasi yang lebih sihat, produktif dan bebas daripada pengaruh dadah.

Maklumat lanjut mengenai atur cara program, penyertaan dan pengisian aktiviti akan diumumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi penganjur.