BERANANG: Menyedari risiko ancaman demam denggi, sekumpulan pelajar eksekutif Pengajian Jarak Jauh (ePJJ) Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengambil inisiatif turun padang bagi memperkasakan komuniti di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, di sini pada Ahad lalu.
Program Knowledge Transfer Programme (KTP): The Eco-Tech Ecosystem itu digerakkan oleh pasukan Vector Xpose dari Program Sarjana Muda Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan UiTM Cawangan Selangor.
Inisiatif tersebut bertujuan untuk memindahkan ilmu akademik kepada masyarakat, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan denggi serta membudayakan amalan hidup sihat.
Program itu turut mendapat kerjasama erat penduduk setempat, Pasukan COMBI Pangsapuri Baiduri, Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor serta Unit Pendidikan Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat.
Majlis perasmian dan aktiviti gotong-royong mega tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Wira Johan Abdul Aziz.
Beliau turut melancarkan inisiatif KomBed (Komuniti Bebas Denggi) yang melibatkan kawasan perumahan dari Blok A hingga Blok G.
Johan ketika berucap memuji komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh mahasiswa UiTM kerana sanggup turun padang bersama agensi kerajaan dan komuniti dalam membanteras ancaman Aedes.
”Kerjasama antara institusi pengajian tinggi, agensi kesihatan dan komuniti setempat seperti ini perlu diperluaskan kerana ia mampu memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Program, Profesor Dr Nazri Che Dom berkata, projek berkenaan merupakan manifestasi tanggungjawab sosial universiti dalam memindahkan pengetahuan kepada masyarakat melalui pendekatan praktikal.
”Program ini bukan sekadar aktiviti gotong-royong biasa, tetapi merupakan satu platform pemindahan ilmu yang menggabungkan pendidikan kesihatan, perubahan tingkah laku dan penglibatan komuniti bagi mewujudkan persekitaran bebas denggi secara mampan,” jelasnya.
Antara tarikan utama program tersebut adalah pengenalan pendekatan The Eco-Tech Ecosystem yang menggabungkan elemen ekologi dan teknologi.
Melalui kaedah itu, penduduk diperkenalkan dengan penggunaan pokok pudina (mint) sebagai repelen semula jadi untuk mengurangkan kehadiran nyamuk di kawasan kediaman tanpa bergantung kepada racun serangga kimia.
Selain demonstrasi penanaman pokok pudina menggunakan bahan kitar semula, pasukan Vector Xpose turut memanfaatkan platform digital media sosial sebagai medium pendidikan berterusan bagi kawalan denggi dan penjagaan kesihatan awam.






