Inflasi Malaysia Meningkat 2 Peratus

Inflasi Malaysia Meningkat 2 Peratus

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Inflasi Malaysia meningkat kepada 2.0 peratus pada Mei berbanding 1.8 peratus pada April, didorong kenaikan harga komunikasi, makanan dan minuman, perumahan serta rekreasi.

Walau bagaimanapun, pada kadar 2.0 peratus, inflasi Malaysia kekal lebih rendah berbanding Filipina (6.8 peratus), Vietnam (5.6 peratus), Korea Selatan (3.1 peratus), Indonesia (3.1 peratus) dan Thailand (2.8 peratus), namun lebih tinggi berbanding China yang mencatat 1.2 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat kepada 137.1 mata berbanding 134.4 setahun lalu, dengan inflasi bulanan naik 0.1 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan tertinggi direkodkan dalam kumpulan komunikasi (2.1 peratus), diikuti makanan dan minuman (1.4 peratus), perumahan (1.2 peratus) serta rekreasi (1.1 peratus).

Harga makanan terus meningkat, khususnya ikan, makanan laut serta gula dan manisan, manakala sayur-sayuran dan produk tenusu mencatat penurunan.

Harga ayam turut kekal lebih rendah tahun ke tahun pada RM10.48 sekilogram.

Inflasi pengangkutan pula perlahan kepada 3.8 peratus, sejajar penurunan harga RON97 kepada RM4.81 seliter dan diesel di Semenanjung kepada RM5.01 seliter.

Di peringkat negeri, lapan negeri mencatat inflasi melebihi purata nasional, diketuai Pahang (2.8 peratus), diikuti Negeri Sembilan dan Labuan (masing-masing 2.6 peratus) serta Johor (2.5 peratus), manakala Sarawak terendah pada 0.5 peratus.

Secara keseluruhan, 63.5 peratus item dalam bakul IHP mencatat kenaikan harga, namun 97.5 peratus daripadanya meningkat kurang daripada 10 peratus.