SELARAS DENGAN PELAN SMJ, SABAH AKAN BINA LEBIH BANYAK RUMAH MAMPU MILIK...

SELARAS DENGAN PELAN SMJ, SABAH AKAN BINA LEBIH BANYAK RUMAH MAMPU MILIK – KM HAJIJI

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mengumumkan lebih banyak rumah mampu milik termasuk di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) akan dibina di negeri ini selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0.

Menurutnya, Lembaga Perumahan dan Kemajuan Bandar Sabah (LPPB) sedang dalam usaha membina 175 rumah kos rendah di Kemabong, Sukau, Melalap dan Beluran di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Usaha yang diambil oleh Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diharap dapat memberi peluang kepada lebih ramai orang memiliki rumah. Kerajaan GRS akan memastikan lebih banyak rumah mampu milik dibina di negeri ini,” katanya.

Hajiji yang berucap di majlis pecah tanah cadangan pembangunan 441 unit kondominium di Signal Hill di sini hari ini, Hajiji berkata, LPPB telah menyiapkan 29,218 rumah kos rendah di seluruh negeri sejak Rancangan Malaysia pertama sehingga RMK11.

Pada masa yang sama, 32 projek PPR telah dibina di Sabah yang terdiri daripada 21,800 unit rumah.

EMPAT (4) projek PPR kini dalam pembinaan di Pitas, Tagasan (Semporna), Kionsom (Inanam) dan Lahad Datu.

Mengenai projek kondominium yang sedang diusahakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui MARA bersama Kerajaan Negeri, Ketua Menteri berkata, ia adalah projek yang baik kerana ia dapat menarik minat pelabur asing ke Sabah, melalui program Malaysia Rumah Keduaku.

Projek ini juga menawarkan potensi peluang pekerjaan kepada 1,000 penduduk tempatan selain mewujudkan spin-off ekonomi di kawasan sekitar, katanya.

“Saya percaya masa projek ini tepat kerana Kerajaan Negeri telah berjaya menarik beberapa pelaburan baharu dalam sektor pembuatan dan pelancongan,” tambah beliau lagi.