KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 226 warganegera Filipina termasuk diusir pulang dalam siri ke-7 Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) tahun ini pada Rabu.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, tahanan termasuk 56 orang wanita dan 17 orang kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah selain lelaki.
“Purata umur bagi tahanan yang terlibat pemindahan kali ini adalah antara dua tahun sehingga 73 tahun.
“Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa dan penjaga masing-masing melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Vessel MV Antonia 1.
“PATI yang terlibat pada kali ini adalah tahanan warganegara Filipina dari Depot Imigresen Sandakan sahaja,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Bagi tahun ini, JIM Sabah memindahkan seramai 2,013 orang tahanan warganegara Filipina ke negara asal melibatkan pengangkutan laut dan udara.
Sitti berkata kesemua PATI yang dipindahkan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Hukuman yang dikenakan juga adalah berdasarkan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar ke negara asal dikenakan,” tambahnya.