Pasangan Warga Asing Ditahan Milik Syabu di Kalabakan

Pasangan Warga Asing Ditahan Milik Syabu di Kalabakan

0
SHARE

KALABAKAN: Polis Kalabakan menahan dua individu warganegara asing, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita, selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu operasi rondaan cegah jenayah di Kampung Rancangan Kalabakan, Sabtu lalu.

Menurut kenyataan Balai Polis Kalabakan, pasukan rondaan yang sedang menjalankan pemeriksaan di kawasan berkenaan telah terserempak dengan pasangan tersebut dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah kedai sebelum tindakan pemeriksaan dilakukan.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 36 tahun menemukan 15 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 20.73 gram yang disimpan di dalam beg hitam miliknya.

“Sementara itu, pemeriksaan terhadap suspek wanita berusia sekitar 44 tahun pula membawa kepada penemuan satu kotak berisi 21 paket plastik lutsinar mengandungi bahan sama yang dianggarkan seberat 5.03 gram,” jelas kenyataan itu di sini, semalam.

Kedua-dua suspek serta semua barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis Kalabakan untuk tindakan lanjut.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pihak polis menegaskan komitmen untuk terus mempergiatkan usaha membanteras penyalahgunaan dadah di daerah Kalabakan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti setempat terus terpelihara.