Konsulat China Nafi Keluar ‘Amaran Keras’ Terhadap Kerajaan Sabah, Page ‘Ranau Media’...

Konsulat China Nafi Keluar ‘Amaran Keras’ Terhadap Kerajaan Sabah, Page ‘Ranau Media’ Fitnah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya pihak Kedutaan Besar China di Malaysia telah mengeluarkan “amaran keras” terhadap Kerajaan Negeri Sabah berhubung isu bekalan air.

Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, pihak Konsulat menegaskan bahawa tuduhan tersebut adalah disinformasi dan tidak berasas sama sekali.

Menurut kenyataan itu, tiada sebarang amaran, ancaman atau kenyataan rasmi pernah dikeluarkan oleh Kedutaan China di Malaysia mahupun Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu terhadap kerajaan negeri, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), atau mana-mana pihak berkuasa tempatan di Sabah.

“Pihak kami juga tidak pernah mengeluarkan apa-apa ‘nasihat perjalanan’ berkaitan isu bekalan air seperti yang didakwa,” jelas kenyataan tersebut.

Konsulat Jeneral turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus berpegang kepada semangat persahabatan dan kerjasama saling menguntungkan antara China dan Malaysia.

Termasuklah memperkukuh kerjasama praktikal dalam bidang pelancongan, perdagangan dan kebudayaan, di samping memudahcara pertukaran rakyat ke rakyat antara kedua-dua negara.

Dalam pada itu, Konsulat Jeneral menyeru semua media tempatan dan pengguna media sosial supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan hubungan baik antara China dan Malaysia, sebaliknya memastikan semua laporan berasaskan fakta dan bertanggungjawab.

Kenyataan itu mengakhiri dengan penegasan bahawa hubungan antara China dan Sabah akan terus diperkukuh melalui kerjasama yang saling menghormati dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.