BN Sabah Yakin Selesai Isu Air Dalam Tiga Tahun

BN Sabah Yakin Selesai Isu Air Dalam Tiga Tahun

0
SHARE

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah yakin masalah air yang berlarutan di negeri ini dapat diselesaikan dalam tempoh tiga tahun sekiranya diberi mandat untuk mentadbir semula kerajaan, kata Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Katanya, isu tersebut boleh ditangani dengan kerjasama dan komitmen politik antara kerajaan negeri serta persekutuan.

“Masalah air boleh diselesaikan dalam tiga tahun. Jalan raya juga tidak rumit, cuma perlu ada tekanan kepada kerajaan persekutuan untuk mempercepatkan peruntukan,” katanya pada sidang akhbar malam Isnin.

Beliau memaklumkan UMNO Sabah kini dalam keadaan siap siaga sepenuhnya menghadapi PRN17 dengan 6,044 cawangan dan 614,994 ahli digerakkan, termasuk 474,252 pengundi berdaftar.

Sebanyak 80 peratus calon BN merupakan muka baharu dan golongan muda daripada pelbagai latar belakang.

UMNO Sabah juga akan melancarkan jentera, manifesto dan senarai calon dalam masa terdekat di bawah Rancangan Pembangunan Sabah 1, yang antara lain menekankan penubuhan Tabung Kemakmuran Negeri bagi memastikan hasil Sabah dimanfaatkan rakyat.

Bung turut mengesahkan BN akan bertanding kira-kira 48 kerusi DUN, manakala perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hampir dimuktamadkan.

Beliau menegaskan kerjasama dengan PH akan diteruskan demi kestabilan politik dan kepentingan rakyat.

Mengenai dua Ahli Parlimen, Datuk Shahelmey Yahya (Putatan) dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandi (Kalabakan, Bung berkata BN Pusat sedang meneliti kedudukan mereka dan tindakan boleh diambil di bawah Akta Anti Lompat Parti.

“Mana-mana wakil yang bertukar parti akan hilang kelayakan,” tegasnya.

Beliau menutup sidang media dengan keyakinan bahawa UMNO Sabah kekal bersatu, berdisiplin dan bersedia memimpin semula negeri.