Pemikir Muda Ketua Menteri Buka Ruang Belia Sabah Sumbang Idea Dasar Kerajaan

Pemikir Muda Ketua Menteri Buka Ruang Belia Sabah Sumbang Idea Dasar Kerajaan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penubuhan Pemikir Muda Ketua Menteri dilihat sebagai platform baharu bagi belia Sabah terlibat secara langsung dalam penggubalan dasar dan polisi pembangunan negeri.

Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan berkata, platform yang dipimpin golongan intelektual muda itu akan berperanan sebagai penasihat dan pengkaji kepada Ketua Menteri dalam merangka dasar berkaitan pembangunan belia.

Katanya, sebelum ini kurangnya saluran rasmi menyebabkan pandangan anak muda jarang diangkat dalam pembentukan dasar, menjadikan sesetengah polisi kurang relevan dengan keperluan generasi baharu.

“Pemikir Muda Ketua Menteri bukan sekadar ruang bersuara, tetapi mekanisme rasmi agar idea dan cadangan belia dapat diterjemah menjadi dasar nyata.

“Ia memberi rasa pemilikan kepada belia dalam hala tuju negeri di bawah kerangka Sabah Maju Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abqaree turut mengalu-alukan penubuhan Majlis Tindakan Belia Sabah (MTBS) yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, yang akan berfungsi menyelaras semua inisiatif pembangunan belia bagi mengelak pertindihan program serta memastikan pelaksanaan lebih berkesan.

“MTBS akan menjadi payung penyelarasan bagi memastikan setiap program latihan kemahiran, keusahawanan dan kesejahteraan belia dilaksana secara strategik di seluruh negeri,” tambahnya.