UMNO Sabah Hantar Jentera Ke PRN Melaka

UMNO Sabah Hantar Jentera Ke PRN Melaka

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – UMNO Sabah akan menghantar jenteranya bagi membantu calon-calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 20 November bulan depan.

Ketuanya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, jentera yang diwakili daripada bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri itu akan berkampung di Melaka pada waktu berkempen dan menjelang pembuangan undi.

“Kita akan menghantar jentera dan akan diletakkan pada satu kawasan daerah mengundi yang ditentukan kemudian yang merangkumi beberapa buah kawasan DUN,” katanya selepas sesi taklimat bersama Ketua-Ketua bahagian dan Ketua Ketua Sayap Wanita,Pemuda dan Puteri UMNO di bangunan UMNO Sabah baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO Sabah Datuk Yakub Khan, Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin, Bendahari UMNO Sabah Suhaimi Nasir dan Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Raime Unggi.

Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, jentera akan lebih banyak berkempan dari rumah ke rumah dalam kelompok kecil bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Bung ketika menyampaikan amanat semasa majlis tersebut…

Terdahulu ketika menyampaikan Amanat di majlis tersebut Ketua Umno bahagian Kinabatangan itu mahukan semua kepimpinan UMNO bahagian Wanita Pemuda dan Puteri fokus kepada usaha memperkukuhkan parti melalui gerak kerja di bahagian masing-masing.

“Kita jangan fikir perkara lain, keutamaan kita adalah memperkukuhkan jentera parti, apabila parti kita kuat dan kukuh kita akan dihormati,” katanya.

Menurut beliau, soal calon dan pemilihan parti diketepikan dahulu dan yang penting adalah UMNO perlu kukuh dan berada di landasan yang betul untuk berhadapan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya selalu tegaskan Umno mempunyai struktur yang lengkap sehingga peringkat akar umbi. Apabila struktur ini wujud serta tanggungjawab serta peranan masing-masing disedari, Umno tidak dilihat sebagai sebuah parti yang lemah tetapi berpengaruh,” tegasnya.