Bayaran Segera Perlu Dibuat Kepada Pemaju, Kontraktor Jika Projek Pembinaan Siap

Bayaran Segera Perlu Dibuat Kepada Pemaju, Kontraktor Jika Projek Pembinaan Siap

0
SHARE
Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman (dua dari kiri) ketika meninjau projek jalan pesisir pantai Labuan, di Labuan...

LABUAN – Bayaran segera perlu dibuat kepada pemaju dan kontraktor sebaik projek pembinaan yang dilaksanakan diperakukan siap.

Saranan itu dibuat Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman ketika melawat tapak projek jalan pesisir pantai Labuan di sini, semalam.

Beliau berkata, langkah itu penting dalam usaha membantu kontraktor dan pemaju yang terjejas selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Sebaik projek sudah diperaku siap, bayaran perlu dipercepatkan. Ini membantu kontraktor dan pemaju terus kekal dalam perniagaan dan juga menangani isu kelewatan projek…

“Dalam jangka panjang, ia akan membantu menjana semula pertumbuhan ekonomi kita,” katanya.

Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Kakitangan JKR Wilayah Persekutuan Labuan, di Labuan…

Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Persekutuan Labuan, Ir Suhaizad Sulaiman.

Projek jalan pesisir pantai Labuan yang bernilai RM132 juta membabitkan sepanjang 5.1 kilometer dari Membedai ke Tanjung Aru.

Projek itu yang kini mencapai 98.7 peratus siap membabitkan pembinaan jalan baharu satu lorong dua hala sepanjang empat kilometer dan 1.1 kilometer jalan sedia ada yang dinaik taraf.

Pembinaan projek bermula itu sejak Disember 2017 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 akan menjadi laluan alternatif menghubungkan antara kawasan utara Pulau Labuan ke bandar Labuan.

Sekurang-kurangnya 35 peratus (35%) pengguna jalan raya khususnya pengguna dari Kampung Lubuk Temiang, Ganggarak, Tanjung Aru, Kerupang dan Nagalang menerima manfaat daripada pelaksanaan projek itu.

Mohamad Zulkefly dalam lawatan itu turut mengucapkan tahniah kepada pasukan yang terlibat dalam pembinaan projek berkenaan.