Lelaki Tipu Kontraktor Bantu Dapatkan Projek RM1.5 Juta Didakwa

Lelaki Tipu Kontraktor Bantu Dapatkan Projek RM1.5 Juta Didakwa

0
SHARE
Tertuduh keluar dari Bilik Bicara Mahkamah Sesyen Khas 1

KOTA KINABALU: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Khas Rasuah atas pertuduhan menipu dan memperdaya kontraktor untuk mempercayainya boleh membantu mendapatkan projek bernilai RM1.5 juta pada tahun 2019.

Tertuduh, Sidu Edin, 58 tahun bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Jason Juga.

Mengikut pertuduhan, Sidu pada 26 Mac 2019, lebih kurang jam 8 malam di The Palace Hotel, Kota Kinabalu telah menipu seorang kontraktor dengan memperdayakan kontraktor tersebut untuk mempercayai Sidu yang mengaku boleh membantu untuk mendapatkan projek pemabikan kerja-kerja darurat (AP55) di SMK Terusan Sugut bernilai RM1.5 juta.

Tertuduh dengan curangnya mendorong kontraktor untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM150,000 kepadanya, yang mana mangsa (kontraktor) tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan.

Jika didapati bersalah, boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama dan penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun, dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan deposit sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin yang berlamat tetap.

Sebutan semula kes adalah pada 2 April 2024 dan tertuduh perlu lapor diri ke pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua bulan sekali serta pasport antarabangsa hendaklah diserahkan kepada Mahkamah dan tertuduh tidak boleh mengganggu saksi kes.

Kes dikendalikan pegawai pendakwa, Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala tertuduh pula diwakili peguam Mohd Fadzri Azham Zainudin.