KOTA KINABALU: Polis menahan sembilan pekerja kilang termasuk lima warga China selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini, Isnin lalu (26 Feb).
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata, pergaduhan berpunca dari ketidakpuasan hati kerana telah berlaku perlanggaran bahu antara pekerja tempatan dan pekerja China ketika beratur untuk membuat ‘thumbprint’ selepas tamat waktu bekerja.
“Pertengkaran dan pergaduhan antara keduanya telah disertai oleh beberapa rakan dari kedua belah pihak termasuk ada yang manggunakan kayu sebagai senjata.
“Akibat pergaduhan itu, salah seorang pekerja tempatan telah mengalami kecederaan ringan di kedua-dua lutut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Katanya, pergaduhan kemudian berjaya dileraikan oleh pengawal keselamatan serta beberapa pekerja kilang yang lain.
Kesemua sembilan yang terlibat itu telah ditahan bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.






