Pengerusi BN Sabah Arthur, ‘Hilang’ Sepanjang Kempen Dua PRN di Semenanjung

Pengerusi BN Sabah Arthur, ‘Hilang’ Sepanjang Kempen Dua PRN di Semenanjung

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kegagalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, menghadirkan diri bagi membantu kempen BN sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan dipersoalkan pemimpin UMNO Sabah yang menyifatkan beliau gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua parti di negeri ini.

Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazalie Ansing berkata, ketika pemimpin BN dari seluruh negara turun padang membantu calon masing-masing sejak sebelum hari penamaan calon, Arthur didakwa tidak kelihatan sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Menurutnya, kemenangan BN di kedua-dua PRN membuktikan kekuatan jentera parti hasil kerjasama semua pemimpin, namun tindakan Arthur yang didakwa tidak bersama jentera kempen menimbulkan persoalan dalam kalangan akar umbi.

“Dua pilihan raya negeri sudah selesai dengan kemenangan BN tetapi Arthur pula ‘bertapuk’ dan tidak muncul membantu parti.

“Beliau dilantik sebagai Pengerusi BN Sabah, namun tidak membantu kami ketika berkempen. Mungkin disebabkan mahu menjaga kedudukannya dalam Kerajaan Madani,” katanya dalam satu kenyataan.

Ghazalie berkata, sebagai Pengerusi BN Sabah, Arthur sepatutnya menunjukkan keberanian mempertahankan parti walaupun BN berdepan Pakatan Harapan (PH), yang merupakan rakan kerjasama di peringkat Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mempertimbangkan pertukaran kepimpinan BN Sabah sekiranya Arthur terus gagal memainkan peranan sewajarnya.

“Kita meraikan demokrasi matang dalam politik negara. Pilihan raya adalah medan kita bertempur dan apabila selesai, kita kembali bekerjasama demi kepentingan rakyat.

“Tetapi pemimpin seperti Arthur tidak muncul ketika parti memerlukannya. Lebih baik beliau digantikan dengan pemimpin yang lebih berani berjuang untuk parti, bukannya menjaga jawatan semata-mata,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa BN dijangka sekali lagi berdepan PH pada PRN Melaka akan datang, sekali gus memerlukan kepimpinan negeri yang berani mengatur strategi serta tampil mempertahankan parti.

“Kami mahu ketua yang berani berdepan kawan mahupun lawan dalam gelanggang politik, bukannya menghilangkan diri kerana bimbang kehilangan jawatan dalam Kabinet,” katanya.