PUTRAJAYA, SELANGOR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan peruntukan kepada setiap jabatan pendidikan negeri bagi memastikan aktiviti sukan dan kokurikulum dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengulas isu tular berhubung pasukan bola sepak pelajar daerah Keningau bawah 15 dan 18 tahun yang telah menjuarai Majlis Sukan Sekolah Daerah baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, kumpulan itu dilaporkan tidak dapat meneruskan kejohanan pada peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang diadakan di Johor pada 24 hingga 30 Ogos disebabkan kekangan kewangan.
Aduan guru mereka di Facebook semalam mendapat perhatian tangkas daripada Kerajaan Negeri Sabah.
“KPM cakna mengenai isu yang ditularkan. Bagi menjamin kemenjadian murid yang menyeluruh termasuk dalam sukan, KPM telah menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk penganjuran sukan dan aktiviti kokurikulum di setiap peringkat.
“KPM telah meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah untuk menggunakan peruntukan sedia ada bagi menampung kos penyertaan pasukan tersebut dalam kejohanan MSSM 2023,” katanya.
Fadhlina mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Sabah menerusi Kementerian Belia dan Sukan Sabah atas tindakan cepat yang diambil.
“KPM akan sentiasa berusaha untuk memastikan penglibatan menyeluruh semua murid institusi pendidikan bawah KPM dalam sukan dan kegiatan kokurikulum yang dapat menggilap bakat dan membentuk kemahiran insaniah,” tambahnya.
Pada Jumaat, Kementerian Belia dan Sukan Sabah telah meluluskan peruntukan RM50,000 bagi membiayai pasukan-pasukan berkenaan.