KOTA KINABALU: Polis menerima laporan berhubung satu kejadian gangguan tidak senonoh terhadap seorang wanita di gelanggang bola keranjang, Taman Hill Top, Luyang, Rabu lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata laporan dibuat di Balai Polis Luyang dan kes kini disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah daerah mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata polis memandang serius kesalahan yang mengancam keselamatan awam, khususnya melibatkan wanita, dan tidak akan berkompromi.
“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan termasuk meneliti rakaman CCTV, merakam keterangan saksi serta mengumpul risikan bagi mengenal pasti dan menahan individu terbabit secepat mungkin,” katanya.
Menurutnya, rondaan turut dipertingkatkan di sekitar Taman Hill Top dan kawasan tumpuan awam lain terutama pada waktu malam, melibatkan unit MPV, rondaan motosikal dan anggota dari Balai Polis Luyang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Luyang di talian 088-253470, Hotline IPD Kota Kinabalu di 088-221191 atau balai polis berhampiran.






