SANDAKAN, SABAH – DUA (2) lelaki disyaki anggota kumpulan Abu Sayyaf (ASG) mati ditembak oleh pasukan keselamatan negeri ini dalam satu kejadian berbalas tembakan di Pulau Timbang, Sandakan, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 5 pagi itu, kedua-dua lelaki itu ditembak mati oleh pasukan keselamatan yang menjalankan Operasi Khas bagi mengesan kumpulan berkenaan.
Pada insiden awal pagi tadi, pasukan keselamatan turut merampas senjata api yang digunakan oleh kedua-dua suspek di lokasi kejadian.
Perkara itu disahkan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika beliau dihubungi mengenai kejadian itu dan akan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, jam 11 pagi hari ini.

Menurut sumber, kejayaan pasukan keselamatan ini susulan daripada maklumat operasi khas di Taman Sri Arjuna, Beaufort, 8 Mei lalu.
Hasil daripada maklumat itu, pasukan keselamatan menjalankan operasi bagi mengesan beberapa lagi ahli kumpulan Abu Sayyaf.
Pegawai dan anggota polis akhirnya berjaya mengesan dua ahli kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Timbang, Sandakan dan berlaku berbalas tembakkan hingga kedua-dua lelaki itu maut di lokasi kejadian.
Manakala pegawai dan anggota keselamatan yang menjalankan operasi semua dalam keadaan selamat.
Sebelum ini, seramai lapan individu termasuk dua dalam senarai orang dikehendaki membabitkan kumpulan Abu Sayyaf ditahan dalam serbuan di kawasan paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort, 8 Mei lalu.
Susulan daripada itu, siasatan terus giat dijalankan polis sebelum lima lagi ahli kumpulan pengganas terbabit berjaya ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan di lokasi sama, 17 Mei lalu.