TOKYO, JEPUN – Hanya beberapa lagi temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020, kes pertama COVID-19 telah dikesan di perkampungan atlet Paralimpik Tokyo 2020 pada Khamis baru-baru ini.
Memetik laporan Kyodo News, jangkitan virus itu dikesan daripada seorang pegawai sukan warga asing.
Jawatankuasa penganjur turut mengesahkan hal berkenaan tetapi enggan memberi butiran lanjut.
Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dijadual bermula Selasa depan (24 Ogos).
Sebanyak 22 acara akan dipertandingkan termasuk badminton serta Taekwondo yang bakal membuat penampilan sulung dalam kejohanan tersebut.
Hampir 4,400 atlet dari 160 pasukan dijadual menyertai kejohanan Paralimpik musim panas kali ini.
Kyodo News turut melaporkan bahawa kejohanan itu akan diadakan tanpa kehadiran penonton sama seperti Olimpik Tokyo yang berakhir awal bulan ini, berikutan peningkatan jangkitan COVID-19 di bandar-bandar di Jepun, termasuk Tokyo.