WASHINGTON – Semua rakyat Amerika Syarikat (AS) akan di bawa keluar dengan selamat dari Afghanistan, demikian janji Presiden AS Joe Biden dalam satu kenyataan semalam.
Memetik laporan akhbar tempatan New York Daily News, Joe Biden akan mengekalkan tenteranya di negara itu untuk membawa semua rakyat AS keluar daripada Afghanistan meskipun tarikh akhir pengunduran tentera AS tamat pada 31 Ogos ini.
Ketika ditanya sama ada tentera AS akan kekal berada di Kabul selepas 31 Ogos ini, Biden menafikan perkara itu.
“Rakyat AS perlu faham bahawa kita akan cuba menyelesaikannya (urusan membawa pulang rakyat AS) sebelum 31 Ogos ini,” jawabnya.
Buat masa ini, AS sedang bekerjasama dengan kumpulan Taliban untuk memastikan keselamatan proses membawa pulang rakyat negara itu dan penduduk Afghanistan yang cuba untuk memasuki lapangan terbang di Kabul.
Bagaimanapun, selepas kumpulan Taliban mengambil alih kawasan sekitar lapangan terbang Kabul, Jabatan Negara memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat menjamin keselamatan orang ramai yang mahu menuju ke lapangan terbang itu.