KOTA KINABALU: Sebanyak 1,910 kes kebakaran direkodkan di Sabah sepanjang tahun lalu mendorong Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah memperkukuh pelaksanaan Kempen Keselamatan Kebakaran dan Ops Siaga Raya sempena Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri 2026.
Pengarah JBPM Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, statistik berkenaan menunjukkan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap risiko kebakaran, khususnya ketika musim perayaan.
“Statistik tahun 2025 menunjukkan sebanyak 1,910 kes kebakaran direkodkan di Negeri Sabah dengan 13 kematian dan kerugian mencecah RM145 juta.
“Data ini menegaskan bahawa kepekaan terhadap risiko kebakaran, khususnya akibat penggunaan elektrik di rumah, adalah sangat penting,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran dan Siaga Raya 2026.
Menurut beliau, kebakaran struktur menyumbang 42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, manakala punca nyalaan akibat elektrik merekodkan 692 kes dan menjadi penyumbang terbesar.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kempen “Siap Siaga Raya” dirangka dengan objektif strategik untuk meningkatkan kesedaran awam serta memastikan kesiapsiagaan anggota bomba berada pada tahap optimum bagi menghadapi sebarang kecemasan sepanjang musim perayaan.
“Kempen ini bukan sekadar program tahunan, tetapi usaha berterusan untuk memupuk budaya bertanggungjawab dan proaktif dalam mengurus risiko kebakaran di rumah dan komuniti. Kita mahu tindak balas kecemasan dapat dilaksanakan dengan cepat, cekap dan selamat,” ujarnya.
Mohd Pisar turut menekankan bahawa keselamatan kebakaran merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama padu antara pihak berkuasa, komuniti dan keluarga.
“Keselamatan kebakaran bukan sekadar isu teknikal, tetapi tanggungjawab bersama. Dengan kesedaran dan sokongan semua pihak, kita dapat mencegah tragedi serta mengekalkan keharmonian masyarakat,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar mengambil langkah pencegahan mudah tetapi kritikal seperti mematikan suis elektrik sebelum meninggalkan rumah, memastikan lilin dan dapur tidak ditinggalkan tanpa pengawasan, mengawal penggunaan mercun dan bunga api serta menyimpan nombor kecemasan bomba di tempat mudah dicapai.






