PH Sabah Mesyuarat Esok, Bincang Penstrukturan Semula Kepimpinan – Mustapha

PH Sabah Mesyuarat Esok, Bincang Penstrukturan Semula Kepimpinan – Mustapha

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan penstrukturan semula kepimpinan gabungan itu termasuk menentukan parti yang akan menerajui PH Sabah bagi sesi semasa.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah merangkap Ahli Parlimen Sepanggar berkata, mesyuarat tersebut dijadualkan berlangsung pada petang esok dan akan memfokuskan kepada hala tuju baharu PH Sabah.

Saya fikir kita akan berbincang tentang bagaimana kita menstrukturkan semula PH ini dan juga the way forward untuk Pakatan Harapan.

“Itu akan dibincang esok dan kita akan umumkan kepada media tentang keputusan-keputusan yang akan dibuat,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Wacana Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035.

Mengulas persoalan sama ada PKR akan mengetuai PH Sabah, beliau menegaskan bahawa perkara itu akan ditentukan secara bersama oleh semua komponen dalam gabungan berkenaan.

“Yang penting kita kena konsensus siapa yang boleh ketuai PH Sabah pada sesi ini. Kita akan bincang dan kita mahu supaya dia konsensus,” jelasnya.

Mesyuarat tersebut dijangka menjadi penentu kepada struktur kepimpinan baharu PH Sabah dalam menghadapi cabaran politik semasa serta merangka strategi gerak kerja menjelang fasa politik akan datang.