KOTA KINABALU, SABAH – Selepas menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas bagi kawasan Kuamut selama tiga tahun, Datuk Masiung Banah akhirnya mengambil keputusan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) sebagai platform politik beliau.
“Setelah mengambil masa bertenang sambil mengambil kira pandangan rakan pimpinan daripada kawasan saya di Kuamut, akhirnya saya menerima tawaran sebagai Naib Presiden PGRS, ” jelasnya.
Beliau ditemui sejurus tiba di Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu semalam, selepas mengetuai delegasi pegawai kerajaan dan pemimpin daerah Tongod dalam lawatan enam hari di Manila.
Ketika ditanya wujud khabar angin tentang keengganan beliau menerima tawaran sebagai Naib Presiden, Masiung berkata beliau tidak mengetuai perkara itu kerana berada hampir seminggu di luar negara.
“Tidak ada sebab saya menukar pendirian kerana Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang menerajui parti tempatan baharu itu telah memberi kepercayaan kepadanya menggalas tanggungjawab.
Pada mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PGRS 5 Mac lalu, Masiung diumumkan sebagai Naib Presiden bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Arifin Arif dan Wakil Rakyat Kemabong, Datuk Rubin Balang.
“Secara peribadi saya merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri atas kepercayaan meletakan saya sebagai ‘top five’ dalam kepimpinan tertinggi PGRS, “katanya.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut itu menggariskan empat sebab utama untuk beliau bersama dalam barisan kepimpinan tertinggi PGRS.
Pertama, beliau mempunyai keyakinan tinggi dengan keupayaan Hajiji yang juga presiden parti itu menyatukan parti-parti tempatan dan nasional di bawah naungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Kedua, barisan pimpinan GRS yang diterajui PGRS, Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Usno yang menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) merupakan akitik berpengalaman yang menjadi perisai Ketua Menteri menstabilkan politik Sabah yang bercelaru sebelum ini.
Selain itu katanya, hubungan kerjasama sedia terjalin antara pemimpin kerajaan Sabah dan Persekutuan akan memudahkan program pembangunan rakyat dapat dicapai menerusi konsep Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau menambah, kerajaan GRS di bawah pimpinan Hajiji juga sedang dalam proses akhir menyelesaikan isu (MA63).
Jelas Masiung, paling penting meneruskan agenda kerajaan Sabah membangunkan penduduk luar bandar secara bersasar seiring agenda Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.