Jamawi, Ruji, Yamani Dilantik Ahli Biro Politik MPN PKR Sabah

Jamawi, Ruji, Yamani Dilantik Ahli Biro Politik MPN PKR Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah memperkukuhkan struktur organisasinya dengan melantik Datuk Jamawi Jaafar, Datuk Ruji Ubi dan Datuk Yamani Hafez Musa sebagai Ahli Biro Politik (Biropol) MPN Sabah yang baharu.

Pelantikan itu merupakan antara beberapa penambahbaikan struktur kepimpinan yang dipersetujui MPN Sabah bagi memastikan kesiapsiagaan jentera parti serta mempertingkatkan keberkesanan gerak kerja politik dan organisasi menjelang cabaran politik akan datang.

Ketua Penerangan PKR Sabah, Farid Sainuri berkata, pelantikan ketiga-tiga pemimpin berkenaan diyakini mampu memperkukuhkan fungsi Biro Politik dalam memberikan pandangan strategik serta membantu memperkemas hala tuju parti di negeri ini.

MPN KEADILAN Sabah terus memperkukuhkan struktur organisasi parti di peringkat negeri bagi memastikan kesiapsiagaan jentera serta mempertingkatkan keberkesanan gerak kerja politik dan organisasi menjelang cabaran-cabaran mendatang,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Menurut beliau, bagi memastikan kelangsungan kepimpinan dan pengukuhan organisasi parti di peringkat cabang, Saudara Patrict Sulaiman diamanahkan sebagai Ketua Cabang Tuaran yang baharu manakala Cabang Semporna kini dipimpin oleh Saudara Arastam Pandorog.

Dalam masa sama, Ketua Cabang Tawau, Saudara Fung Thien Yin turut dilantik sebagai Naib Pengerusi MPN III bagi mewakili Zon Tawau.

Farid berkata, pelantikan tersebut bertujuan memperkukuhkan representasi kepimpinan mengikut zon selain memastikan suara serta keperluan akar umbi khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah terus diberikan perhatian sewajarnya.

Sementara itu, beliau berkata PKR Sabah turut menyatakan komitmen untuk membantu gerak kerja parti menjelang pilihan raya negeri yang bakal diadakan di Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, sebagai tanda solidariti dan semangat perjuangan bersama, PKR Sabah akan menghantar pasukan sukarelawan bagi membantu gerak kerja kempen serta jentera pilihan raya di kedua-dua negeri berkenaan.

“KEADILAN Sabah percaya bahawa kekuatan parti terletak pada kesatuan, disiplin organisasi dan kesediaan seluruh anggota untuk berkhidmat di mana sahaja diperlukan.

“Semangat inilah yang akan terus menjadi asas perjuangan parti dalam memperjuangkan agenda reformasi dan kebajikan rakyat,” katanya.