Masidi Hargai Komitmen SCC Bantu Rangsang Pertumbuhan Ekonomi Sabah

Masidi Hargai Komitmen SCC Bantu Rangsang Pertumbuhan Ekonomi Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menzahirkan penghargaan terhadap komitmen Sabah Credit Corporation – Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) dalam membantu merangsang pertumbuhan ekonomi negeri secara inklusif.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat kepimpinan SCC dalam satu pertemuan di pejabatnya di sini, pada Khamis, yang bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan perbadanan berkenaan.

“Kerajaan Negeri menghargai peranan dan komitmen berterusan SCC dalam menyokong agenda pembangunan ekonomi Sabah. Tadbir urus yang baik serta pengurusan kewangan yang berhemah amat penting bagi memastikan setiap inisiatif memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Masidi turut diberi taklimat mengenai prestasi semasa SCC, hala tuju perbadanan serta peranannya dalam menyokong pembangunan ekonomi negeri.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Pengerusi SCC yang baharu, Datuk Rusdin Riman, dan menyatakan keyakinan terhadap keupayaannya memikul amanah untuk terus memperkukuh peranan SCC.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Kewangan, Dato’ Ishak Ayub; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Sofian Alfia Nair; Ketua Pegawai Eksekutif SCC, Datuk George Taitim Tulas; serta pegawai-pegawai kanan berkaitan.