SEMPORNA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang pegawai Unit VAT69 Komando meninggal dunia ketika menjalani latihan menyelam di perairan Pulau Mataking, di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, mangsa, Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin, diberikan bantuan kecemasan dan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Semporna.
“Bagaimanapun, pegawai berkenaan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut beliau, PDRM kini menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian, termasuk menilai prosedur latihan, penggunaan peralatan, serta aspek kesihatan dan keselamatan selaras dengan tatacara operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Siasatan akan dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan setiap aspek keselamatan dipatuhi serta menambah baik langkah pencegahan pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, seluruh warga PDRM merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham serta mendoakan agar mereka diberi ketabahan dan kekuatan menghadapi kehilangan tersebut.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut menzahirkan rasa sedih atas tragedi berkenaan menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau.






