KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melaksanakan tindakan perobohan terhadap struktur tambahan yang dibina secara tidak sah di kawasan rizab jalan di Jalan Lintas, Kolombong, pada 12 Januari lalu.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil selepas Jabatan Kawalan Bangunan mengeluarkan tiga notis kepada pemilik premis terlibat, namun gagal dipatuhi.
Operasi perobohan yang dijalankan dari jam 9 pagi hingga 2 petang itu melibatkan kerjasama bersepadu pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity (SE) serta beberapa jabatan DBKK iaitu Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya dan Jabatan Landskap.
Menurut DBKK, kerja-kerja perobohan berjalan lancar dan semua struktur yang dibina di atas kawasan rizab jalan berjaya dirobohkan serta dialihkan sepenuhnya. Laporan polis turut dibuat bagi tujuan rekod dan rujukan.
DBKK menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap sebarang pembangunan atau pencerobohan yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan kawasan rizab awam, demi menjamin keselamatan, ketenteraman dan kepentingan orang ramai.






