PJRM Diperluas ke Seluruh Negara, Ringankan Kos Sara Hidup Rakyat – Armizan

PJRM Diperluas ke Seluruh Negara, Ringankan Kos Sara Hidup Rakyat – Armizan

0
SHARE

PUTRAJAYA: Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) diperluas pelaksanaannya secara menyeluruh ke seluruh negara bermula sejak 9 Januari 2026, melibatkan 222 kawasan Parlimen, 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 40 zon di Wilayah Persekutuan, sebagai usaha berterusan Kerajaan MADANI menangani tekanan kos sara hidup rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peluasan itu mencerminkan komitmen kerajaan memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan.

“Selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam menangani isu kos sara hidup rakyat, pelaksanaan PJRM diteruskan dan diperluas secara menyeluruh melibatkan seluruh Parlimen, DUN serta zon di Wilayah Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, Khamis.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan PJRM di Anjung Seri, KPDN Putrajaya, yang dilaksanakan setiap bulan bersempena hari gaji dan menerima sambutan amat menggalakkan, bukan sahaja daripada penjawat awam malah penduduk sekitar.

Menurut Armizan, pelaksanaan PJRM bulan ini turut signifikan kerana bertepatan dengan pelaksanaan pelarasan gaji Fasa 2 penjawat awam bermula Januari 2026, melengkapkan kenaikan gaji keseluruhan sebanyak 15 peratus seperti yang dijanjikan kerajaan.

“Fasa pertama melibatkan kenaikan lapan peratus telah bermula pada Disember 2024, manakala baki tujuh peratus lagi mula dinikmati pada Januari 2026. Inilah nilai sebenar pendekatan Kerajaan MADANI yang bersifat serampang dua mata,” katanya.

Beliau menjelaskan, kerajaan bukan sahaja menumpukan kepada kestabilan harga barangan dan perkhidmatan, malah turut berusaha meningkatkan pendapatan rakyat secara mampan melalui pelbagai dasar termasuk peningkatan gaji minimum, dasar gaji progresif, pemerkasaan keusahawanan serta bantuan tunai bersasar.