Ah Mei: “Saya cuma mahu bantu orang, tak kira bangsa”

Ah Mei: “Saya cuma mahu bantu orang, tak kira bangsa”

0
SHARE

LAHAD DATU: Bagi Liew Fei Mee, atau lebih mesra dipanggil Ah Mei, perjuangan politik bukan soal pangkat atau ganjaran, sebaliknya soal berkhidmat kepada masyarakat, terutama komuniti Cina di kawasan DUN Silam.

Berusia 48 tahun, Ah Mei bekerja sebagai guru tadika, namun pada masa yang sama aktif sebagai Ahli Jawatankuasa Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) dan bertindak sebagai penyelaras kaum Cina bagi kawasan Taman Fajar, Taman Setia, Taman Kafoh, Taman Hing Nam, Taman Aman, Taman Sri Perdana, Taman Public Villa dan Taman CL, yang semuanya terletak dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Fajar.

“Saya ni kerja tadika, tapi lepas waktu sekolah atau hujung minggu, kalau ada orang call atau mesej, saya akan turun tengok sendiri. Kadang malam pun saya pergi rumah orang yang perlukan bantuan,” katanya ketika ditemui Sabah News.

Warga emas, Tai Nyuk Lan, 65, menunjukkan keadaan kakinya yang sakit kepada Datuk Mizma Appehdullah dan Ah Mei dalam lawatan ziarah menyantuni masyarakat Cina di PDM Fajar, DUN Silam.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Ketua Bahagian PGRS DUN Silam, Datuk Mizma Appehdullah bersama pasukannya menziarahi beberapa keluarga masyarakat Cina di sini.

Ah Mei berkata, minat beliau terhadap politik bermula selepas aktif dalam pelbagai persatuan masyarakat Cina, di mana beliau sering menjadi tempat rujukan penduduk untuk menyampaikan masalah harian.

“Saya suka tolong orang dari dulu lagi. Tak kira bangsa mana pun, kalau orang datang minta tolong, saya akan cuba bantu. Mungkin sebab itu orang kata saya ‘friendly’,” katanya sambil ketawa kecil.

Liew Fei Mee (Ah Mei)

Ah Mei mula terlibat dalam PGRS selepas diperkenalkan oleh Mizma, tokoh wanita yang dianggap banyak membantu mengangkat suara masyarakat Cina di Silam.

“Saya kenal ramai orang dalam parti, jadi bila Datuk Mizma ajak saya sertai AJK, saya setuju. Kita sama-sama wakili kaum Cina, bantu apa yang boleh,” ujarnya.

Sebagai penyelaras, tugasnya bukan sekadar menyampaikan maklumat parti, tetapi menjadi jambatan antara komuniti Cina dan pemimpin tempatan.

“Bila orang Cina ada masalah — misalnya pasal jalan, lampu, atau bantuan kebajikan — mereka lebih senang datang cari saya. Sebab dari kecil kami sama-sama membesar di sini, jadi mereka kenal saya.”

Datuk Mizma Appehdullah sedang membetulkan kedudukan kaki Lim Pit Nyuk, 71, selepas menerima kerusi roda baru dalam lawatan ziarah menyantuni masyarakat Cina di PDM Fajar, DUN Silam.

Bagi Ah Mei, masyarakat Cina di Silam sebenarnya tidak menolak mana-mana parti, sebaliknya lebih melihat kepada keikhlasan dan kehadiran pemimpin di lapangan.

“Orang Cina mahu tengok pemimpin yang betul-betul turun padang, bukan setakat cakap saja. Kalau nampak pemimpin rajin bantu semua bangsa, baru dia orang percaya,” katanya.

Beliau mengakui bahawa sebelum ini, semasa pentadbiran Warisan, masyarakat Cina ada yang menyokong, namun ramai berpendapat pemimpin tertinggi parti jarang turun padang.

“Kami jarang nampak ADUN Warisan datang melawat kawasan Cina. Kadang nampak di Facebook saja, macam pilih tempat,” katanya.

Datuk Mizma Appehdullah beramah mesra dengan warga emas, Chin Sin Kui, 73, dalam lawatan ziarah menyantuni masyarakat Cina di PDM Fajar, DUN Silam.
Warga emas, Chin How Yong, 69, gembira melihat kehadiran Datuk Mizma Appehdullah bersama pasukan PGRS Silam dalam lawatan ziarah menyantuni masyarakat Cina di PDM Fajar, DUN Silam. Turut kelihatan anaknya, Deborah Chang, 45, (kanan).

Sebaliknya, katanya, kehadiran Mizma yang tidak memilih kaum menjadikan masyarakat Cina lebih selesa dengan pendekatan PGRS.

“Datuk Mizma ni orang yang tidak pilih bangsa. Itu sebab ramai Cina sini kenal dan hormat dia.”

Biarpun sibuk dengan tugas di tadika, Ah Mei tetap berpegang pada prinsip bahawa politik adalah khidmat masyarakat, bukan semata-mata perebutan kuasa.

“Kalau saya boleh bantu orang, itu sudah cukup bagi saya. Itu saja niat saya,” katanya sambil menambah sekiranya pemimpin terus mendekati masyarakat secara konsisten, komuniti itu akan kekal menyokong perjuangan yang benar-benar membawa manfaat kepada rakyat.

DUN Silam mempunyai kira-kira 29,000 pengundi berdaftar terkini di mana terdapat kira-kira 3,500 pengundi Cina.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November ini sebagai hari penamaan calon, disusuli 25 November pengundian awal dan 29 November hari mengundi biasa bagi Pilihan Raya Umum Sabah Ke-17 (PRU17).