PRU Sabah: Pemuda UPKO Mahu SPRM ‘Walk The Talk’ Banteras Rasuah

PRU Sabah: Pemuda UPKO Mahu SPRM ‘Walk The Talk’ Banteras Rasuah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyambut baik komitmen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memantau sepenuhnya proses Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU) Sabah, namun menegaskan ia tidak boleh hanya sekadar kenyataan.

Ketua Pemuda UPKO Nasional, Felix Joseph Saang berkata, SPRM perlu membuktikan kesungguhan melalui tindakan nyata termasuk turun padang memantau kempen, gerak kerja parti, proses pengundian serta memastikan sebarang cubaan membeli undi, sogokan politik dan penyalahgunaan jentera kerajaan dibanteras segera.

“Walk the talk. Rakyat mahu lihat tindakan, bukan sekadar kata-kata. SPRM mesti memastikan PRU Sabah berlangsung telus, adil dan bebas rasuah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Felix menegaskan tindakan tegas tidak harus memilih bulu, sebaliknya melibatkan semua pihak tanpa mengira kedudukan atau parti politik terlibat. Hanya melalui keberanian serta ketegasan konsisten, katanya, keyakinan rakyat terhadap integriti institusi dapat dipulihkan.

Beliau juga mencadangkan supaya SPRM menambah jumlah pegawai pemantau di setiap 73 kawasan DUN Sabah kerana keluasan geografi negeri memerlukan kawalan lebih menyeluruh.

Pemuda UPKO, katanya, akan terus menyokong usaha mana-mana agensi penguatkuasaan bagi memastikan PRU Sabah berlangsung secara bersih, telus dan berintegriti tinggi demi masa depan demokrasi negara.