KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kejayaan Program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) membuktikan anak-anak muda Sabah bukan sekadar pelapis, tetapi aset penting yang berupaya menyumbang secara langsung kepada pembangunan negeri.
Beliau berkata, Program Felo SMJ bukan hanya peluang untuk menimba pengalaman dalam pentadbiran kerajaan, tetapi platform melatih jati diri, integriti dan membentuk kepimpinan masa depan Sabah yang lebih berdaya saing serta berwawasan.
“Program ini bukan sahaja melahirkan pemimpin yang cemerlang dalam ilmu dan kemahiran, tetapi pemimpin yang mampu menyelami denyut nadi rakyat serta membawa suara komuniti di peringkat dasar,” katanya pada majlis penyampaian watikah Felo SMJ 4.0 kepada 42 anak muda di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Beliau turut menyeru agar para peserta Felo SMJ memanfaatkan tempoh penyertaan ini untuk memahami secara dekat fungsi pentadbiran kerajaan, proses pembentukan dasar dan keputusan, serta peranan jentera kerajaan dalam membela rakyat Sabah.
Menurut Hajiji, peningkatan penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam program itu daripada 10 kepada 20 GLC tahun ini jelas menunjukkan keyakinan terhadap usaha melahirkan generasi pemimpin muda yang berkualiti dan berintegriti.
Malah katanya, ramai dalam kalangan felo terdahulu telah menerima tawaran menyertai GLC selepas tamat program.
“Ini menunjukkan komitmen bersama kerajaan negeri, GLC dan KBSS dalam mempersiapkan pewaris kepimpinan Sabah yang berupaya meneruskan agenda pembangunan negeri ke arah masa depan yang lebih cerah,” katanya.






