KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan bahawa senarai calon parti untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17 telah dimuktamadkan sepenuhnya, dan pengumuman rasmi akan dibuat sekitar 11 atau 12 November ini, iaitu kira-kira tiga hingga empat hari sebelum hari penamaan calon.
Bercakap kepada media selepas Majlis Penyampaian Watikah Felo SMJ 4.0 di Menara Kinabalu hari ini, Hajiji berkata manifesto GRS pula akan dilancarkan selepas pengumuman calon dibuat.
“Manifesto kita akan lancarkan selepas pengumuman calon. Mungkin satu atau dua hari selepas penamaan calon,” katanya.
Beliau turut menegaskan proses akhir pemilihan calon GRS telah selesai sepenuhnya.
“Saya ingat selesai sudah. Ramai juga yang melobi, yang tidak dapat sudah pergi sendiri. Kita tidak buang, mereka buang diri mereka. Kalau sekadar tidak jadi calon lalu melompat pergi, ini bukan ciri pejuang,” jelasnya.
Mengulas mengenai kemungkinan ‘free for all’ seperti disebutkan Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun, Hajiji menolak pandangan itu dan memaklumkan GRS masih kekal dalam kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Tidaklah begitu. Kita masih dalam kerjasama dengan PH. Kalau ada belanggar sikit-sikit itu bolehlah,” katanya sambil menyatakan isu baki rundingan kerusi juga telah pun diselesaikan.
Dengan keputusan calon sudah selesai diputuskan, Hajiji meminta semua pihak berhenti melobi dan menyerahkan segala keputusan kepada pimpinan tertinggi parti.
“100 peratus calon sudah dimuktamadkan, tinggal pengumuman sahaja dan itu erpulang kepada presiden atau pengerusi GRS,” tegas beliau.






