KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Sabah menyeru kepada semua penduduk negeri ini agar bangkit menjadi ‘Keluarga Malaysia’ yang bermaruah.
Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengingatkan bahawa kesatuan dan perpaduan antara rakyat adalah kunci kepada kejayaan negara.
Harapan beliau adalah semoga Malaysia terus aman dan harmoni serta rakyatnya hidup bersatu-padu dan saling bertoleransi.
“Saat ini, Malaysia mahupun dunia masih berdepan dengan krisis kesihatan terburuk akibat penularan COVID-19. Malah, ekonomi dunia juga hampir lumpuh.
“Kita bersyukur dengan kerja keras pimpinan negara, Malaysia bakal keluar daripada kemelut akibat wabak ini. Insya-Allah, proses pemulihan negara akan mengembalikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat jelata…
“Mudah-mudahan Allah mengurniakan kemakmuran kepada negara tercinta Malaysia,” doa beliau bagi sambutan Hari Malaysia Ke-58 hari ini.
Dalam satu catatan Facebook hari ini Hajiji mengulangi kata-kata keramat yang dilafazkan oleh Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, sewaktu pengisytiharan secara rasmi Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
“Pada hari dan saat yang penuh gilang-gemilang ini, dengan nama Allah Yang Maha Kuasa, demi sesungguhnya kita akan pertahankan bendera, bangsa dan negara kita dengan segala daya upaya kita, sekalipun dengan jiwa dan darah kita”.
Katanya setelah itu bermulalah episod perjalanan dan perjuangan bangsa Malaysia.
“Dengan harapan yang cukup tinggi para pejuang tanah air, Malaysia mengorak langkah meniti cabaran demi cabaran membina sebuah negara yang makmur dan sejahtera…
“Alhamdulillah, hari ini setelah dihadapkan dengan pelbagai ujian, Malaysia telah menjadi sebuah negara yang disegani di peringkat antarabangsa.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Malaysia,” tambah Hajiji.