SYDNEY, AUSTRALIA – Polis New South Wales memaklumkan seorang banduan yang melarikan diri dari sebuah penjara di sini pada tahun 1992 telah menyerah diri selepas 30 tahun berjaya mengelak dirinya dikesan dan ditangkap semula.
Menurut Polis yang dipetik AFP berkata, lelaki itu menggunakan gergaji besi dan pemotong dawai untuk melarikan diri dari penjara di utara Sydney pada tahun tersebut.
“Antara jam 7 malam hari Jumaat 31 Julai dan 7 pagi Sabtu, 1 Ogos 1992, seorang lelaki berusia 34 tahun melarikan diri dari sebuah pusat pemulihan di Hoof Street di Grafton…
“Ketika itu, usaha mencari suspek tidak berjaya dan dia dipercayai berjaya mengelak dikesan pihak berkuasa selama 30 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
The Sydney Morning Herald melaporkan, lelaki yang dipenjara atas tuduhan ‘menanam tanaman terlarang’ itu menghabiskan kehidupan sebagai gelandangan di sepanjang pesisiran pantai di utara Sydney.
Bagaimanapun, pada Ahad lalu kejadian yang mengejutkan berlaku apabila lelaki itu masuk ke sebuah balai polis dan menyerah diri.
Lelaki itu kini dituduh kerana melarikan diri dari penjara dan dipenjarakan semula selepas permohonan jaminnya ditolak.