“Tolak Pembangkang Sekiranya Sayang Sarawak” – Julaihi Narawi

“Tolak Pembangkang Sekiranya Sayang Sarawak” – Julaihi Narawi

0
SHARE
Datuk Julaihi Narawi...

KUCHING, SARAWAK – “Tolak pembangkang sekiranya sayang Sarawak,” demikian kata ingatan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Julaihi Narawi kepada rakyat di negeri itu.

Menurut beliau, segala kejayaan yang ditempa dan kenikmatan yang dikecapi rakyat akan musnah jika pembangkang diberi peluang memerintah kelak.

Tambahnya lagi, pembangkang tidak akan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat kerana pelbagai masalah telah timbul di negeri yang ditadbir mereka.

“Usahlah kita mempertaruhkan masa hadapan kita semata-mata ingin mencuba sesuatu yang berlainan. Kita mempunyai Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dibarisi oleh pemimpin-pemimpin tempatan yang lebih memahami denyut nadi rakyat Sarawak,” katanya ketika berucap merasmikan dewan masyarakat dan gelanggang futsal di Kampung Tebelu, Sebuyau pada Isnin.

“Banyak negara yang mengalami kacau-bilau dalam pentadbiran negara ekoran kesilapan rakyat dalam memilih pemimpin,” tambah beliau.

Julaihi yang juga Menteri Muda Infastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata lagi pembangkang kini sudah ketandusan modal politik dan menjadikan fitnah serta mengapi-apikan kebencian rakyat terhadap kerajaan biarpun mereka telah gagal mentadbir apabila mandat telah diberikan kepada mereka pada pilihan raya umum yang lepas.

“Setiap hari mereka akan cuba mencipta isu untuk mengalih perhatian rakyat daripada melihat segala keburukan dan kelemahan pentadbiran mereka yang lepas,” jelasnya.

Turut hadir dalam majlis perasmian dewan yang dibina dengan kos RM540,000 yang dibina dalam dua fasa tersebut ialah Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sebuyau Ajis Ahmad dan pemimpin-pemimpin tempatan.

Pada majlis sama Julaihi turut menyampaikan bantuan sumbangan yang disalurkan dari Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) melalui Program Ziarah UKAS kepada 10 orang penerima yang terdiri daripada golongan asnaf, warga emas dan juga OKU.

Disamping itu, beliau meluluskan peruntukan untuk aktiviti sampingan kepada JKKK Kampung sebanyak RM5,000.00 dan Persatuan PIBG, sebanyak RM10,000 termasuk peruntukan untuk anak didik silat seramai 70 orang.