Pemuda Gagasan Rakyat Tg Keramat Sokong Penuh, GRS Tanding Solo PRN Sabah

Pemuda Gagasan Rakyat Tg Keramat Sokong Penuh, GRS Tanding Solo PRN Sabah

0
SHARE

PUTATAN: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tanjung Keramat menyatakan sokongan penuh terhadap seruan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor agar GRS bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung tahun ini.

Kenyataan tersebut disuarakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat Tanjung Keramat merangkap Ketua Cawangan Kuala Putatan, Burhanuddin Datuk Seri Yahya Hussin, semasa Persidangan Cawangan Tahunan Gagasan Rakyat Cawangan Kuala Putatan yang diadakan malam tadi.

Majlis yang berlangsung di kediaman beliau di Jalan Kuala Putatan itu turut disertai lebih 100 ahli, termasuk ahli lama dan baharu yang mendaftar pada malam berkenaan.

Mengulas kenyataan terkini daripada pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dalam menghadapi PRN Sabah, Burhanuddin menegaskan bahawa hanya parti tempatan yang memahami aspirasi sebenar rakyat Sabah.

“Kunci kejayaan kerajaan negeri adalah kestabilan politik. Situasi tukar-tukar kerajaan ini tidak membawa apa-apa kemajuan kepada rakyat Sabah,” katanya tegas.

Tambah beliau lagi Gagasan Rakyat menyambut baik pendirian tegas GRS untuk tidak bergantung kepada gabungan luar, dan menyifatkan langkah bergerak solo sebagai satu keputusan strategik demi masa depan politik Sabah yang lebih stabil dan berdaya saing.

Beliau turut menggesa semua ahli parti khususnya di Bahagian Tanjung Keramat agar memperkukuh semangat perjuangan parti demi memastikan kesinambungan pembangunan dan kemakmuran di negeri ini.